Monday, April 12, 2010

PERDANA MENTERI MALAYSIA & PRESIDEN AMERIKA SYARIKAT
Datuk Seri Najib bersama Barack Obama
WASHINGTON 12 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di Walter E. Washington Convention Center di sini, sebelum mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di tempat yang sama.

Pertemuan kira-kira setengah jam itu yang membuka lembaran baru dalam hubungan Kuala Lumpur-Washington turut disertai oleh Pemangku Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis dan tujuh lagi pegawai tinggi kerajaan.

Rais yang juga Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sebelum ini memberitahu wartawan Malaysia, pertemuan hari ini akan menyentuh pelbagai perkara mengenai kepentingan bersama dan antarabangsa.

Ini termasuk soal perdagangan dan pelaburan, keselamatan antarabangsa dan rantau Asia Tenggara serta peranan yang boleh dimainkan oleh Malaysia dalam konteks dunia Islam.
Najib juga mengadakan perbincangan dengan Naib Presiden AS, Joseph Biden di kediaman rasminya di sini sebelum kembali semula ke Walter E. Washington Convention Center.

Sebelum ke sidang kemuncak dua hari itu, Perdana Menteri mengambil kesempatan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri New Zealand, John Key yang turut menghadiri sidang kemuncak itu yang disertai oleh 47 pemimpin dunia.

Sidang kemuncak yang bertujuan menangani isu-isu berkaitan senjata nuklear bermula selepas itu dengan majlis perasmian disempurnakan oleh Obama.

Najib akan mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Negara AS, Hilary Clinton pada majlis makan malam. – IHSAN UTUSAN

No comments:

Post a Comment